Bagaimana Ibu Lepas Bersalin Sanggup Cederakan Diri Sendiri?

Bagaimana Ibu Lepas Bersalin Sanggup Cederakan Diri Sendiri?

Ada 1 ketika, kecoh 1 Malaysia apabila seorang ibu ditemui mati terjun bangunan selepas 10 hari melahirkan bayi kerana dipercayai tertekan akibat tidak dapat menyusukan bayi dan terpaksa memberi susu formula kepada bayinya. Namun, menurut suami, disamping kurang berjaya dalam penyusuan ibu, isterinya juga bosan kerana tiada kerja untuk dibuat.

Tindakan masyarakat menghukum ibu menyusu saya lihat agak tidak adil apabila ibu menyusu dihentam dengan hebat terlalu taksub dengan penyusuan ibu hingga menyebabkan ibu tak berapa berjaya dalam penyusuan ibu menjadi tertekan hingga meragut nyawanya.

Bagi saya orang yang membuat kesimpulan bahawa ibu ini tertekan kerana masalah penyusuan seolah-olah berdendam dengan ibu menyusu dan tunggu masa nak luahkan apa yang terbuku di hati. Ataupun mungkin juga mereka rasa bersalah kerana memberi susu formula terlalu awal kepada bayi, bila timbul isu begini, mereka tampil untuk membuat kenyataan. Apapun, semua terserah kepada ibu sendiri. Walaupun susu ibu ialah susu yang terbaik, namun memberi anak susu formula bukanlah bererti memberi racun untuk membunuh mereka.

Gangguan emosi selepas bersalin.

Wanita lepas bersalin biasanya akan mengalami perubahan hormon dan emosi juga mungkin terganggu sebab kehadiran orang baru dan perlu sesuaikan diri dengan suasana yang baru.

Akibat perubahan-perubahan di atas, 85% wanita dalam pantang mengalami gangguan perasaan pada tahap yang ringan dan tidak membahayakan. Biasanya berlaku dalam masa yang singkat dan tidak memerlukan rawatan. Namun, dalam 10% wanita, gangguan ini mungkin lebih mendalam dan berpanjangan.

Dari segi perubatan, gangguan perasaan wanita selepas bersalin dibahagikan kepada 3 peringkat mengikut tahap keterukan, iaitu gangguan perasaan ringan (postpartum blues), kemurungan (depression) dan gila meroyan (postpartum psikosis)

1. Gangguan perasaan ringan (Post partum blues/baby blues)

Pernah dengar Monday Blues? Semua orang mungkin mengalaminya apabila hari Isnin menjelma. OK, mungkin tidak sama namun ada logiknya di situ. Seorang ibu yang mengalami postpartum blues akan berasa sedih, penat dan mengalami mood yang tidak menentu. Semua orang mungkin akan mengalami keadaan ini, termasuklah orang yang tidak pernah mengalami masalah mental ataupun tekanan emosi sebelum atau semasa mengandung.

Namun gejala ini sangat ringan dan biasanya akan baik sendiri tanpa rawatan. Perubahan emosi ini kerap berlaku pada hari ke-3 hingga ke-5 selepas bersalin, dan berkurang selepas hari ke-10, kemudian emosi mereka biasanya kembali stabil. Mungkinlah apabila orang komen mengenai bayi, penyusuan ibu dan sebagainya, ibu rasa sentap dan terus memendam perasaan dan menyebabkan kesedihan itu berpanjangan.

2. Kemurungan (postpartum depression)

Kemurungan adalah masalah yang lebih serius dan perlu mendapat rawatan. Keadaan ini menimpa 1 daripada 8 ibu dan lebih kerap berlaku pada bulan pertama sehingga setahun selepas melahirkan anak. Bermakna, postpartum depression mengambil masa yang lebih lama untuk terjadi. Ibu juga mungkin sudah mengalami masalah mental atau tekanan beberapa bulan sebelum gejala kemurungan semasa berpantang muncul.

Gejalanya sama sahaja dengan postpartum blues tetapi biasanya lebih teruk. Ibu-ibu ini mempunyai faktor risiko tertentu dan lebih cenderung untuk mendapat kemurungan selepas bersalin. Menurut Presiden Persatuan Psikiatri Malaysia, kemurungan selepas bersalin juga mungkin boleh jadi rentetan daripada postpartum blues sekiranya gejala kesedihan masih ada selepas 12 hari atau 2 minggu.

Faktor yang boleh meningkatkan risiko kemurungan selepas bersalin ialah:
  • Sejarah kemurungan selepas bersalin untuk kelahiran sebelumnya.
  • Mempunyai masalah tekanan emosi yang tidak berkaitan dengan kandungan
  • Sindrom pra-haid yang teruk
  • Kehidupan alam rumah tangga yang bermasalah
  • Tiada tempat meluahkan perasaan
  • Tekanan hidup sebelum, semasa atau selepas bersalin.

3. Psikosis

Psikosis selepas bersalin atau gila meroyan merupakan peringkat paling teruk dan jarang berlaku selepas bersalin. Gila meroyan boleh berlaku secara tiba-tiba, biasanya dalam 2 minggu pertama selepas bersalin dan ada yang berlaku dalam masa 48 jam.

Ibu-ibu ini biasanya tidak lagi berpijak di bumi nyata dan mengalami simptom-simptom psikosis termasuk nampak sesuatu yang tiada atau mendengar suara yang tidak didengari orang lain. Ini boleh meningkatkan kecenderungan untuk mencederakan diri sendiri atau orang sekeliling, terutama bayinya disamping idea untuk bunuh diri sendiri muncul dalam kepala.
Ibu yang berisiko untuk mendapat psikosis selepas bersalin:
  • Mempunyai sejarah masalah mental atau pernah mengalami gila meroyan dalam kandungan sebelum ini.
  • Sejarah keluarga yang mempunyai masalah gila meroyan, terutama ibu atau kakak.

Sokongan ahli keluarga dan orang sekeliling.

Ramai ibu yang mengadu tidak tahan dengan pandangan orang-orang yang datang melawat mengenai cara kelahiran, masalah bayi, masalah penyusuan dan sebagainya. Namun, saya rasa bukanlah semua orang macam tu. Kalau setiap saat, setiap detik orang datang melawat cakap macam tu memang tekanan juga.

Jadi, rasanya suami boleh memainkan peranan di sini. Mungkin boleh pesan siap-siap kat orang yang datang supaya tak perlu komen apa-apa, cukuplah bagi duit sahaja kat bayi.

Sebaiknya, sekurang-kurangnya dalam tempoh 2 minggu pertama, ibu berpantang perlu ada pembantu yang boleh meringankan bebannya walaupun ibu memang berhasrat untuk berpantang sendiri. Suami dan pembantu perlu peka terhadap perubahan emosi yang dialami oleh ibu berpantang dan sedia untuk membawanya menerima rawatan jika terdapat perubahan emosi yang teruk atau berpanjangan.

Yang penting, ibu yang gembira akan menghasilkan keluarga yang gembira.

Nak dapatkan suplemen terbaik untuk ibu berpantang, boleh baca Suplemen Untuk Ibu Berpantang

Sumber : Persatuan Psikiatri Malaysia
 Royal College of Psychiatrist

Comments

Popular posts from this blog

Ibu Menyusu Sakit Belakang Apa Yang Patut Dibuat?

Ibu Ini Dah Serik Masuk Wad Masa Mengandung Anak Pertama Kerana Alahan Teruk

Kebaikan Susu Ibu Untuk Bayi Berbanding Susu Formula